Pemberontakan terhadap Henry II Richard_I_dari_England

Pada tahun 1170, Henry si Raja yang Muda, kakanda Raja Richard, dimahkotai sebagai raja bersama England, dengan gelaran Raja Henry III. Para sejarawan menggelarkan baginda sebagai "si Raja yang Muda" supaya tidak mengelirukan dengan raja senama yang kemudian dan yang merupakan anakanda saudara lelakinya. Pada tahun 1173, Richard menyertai kakanda-adindanya, Henry dan Geoffrey, Duke Brittany, dalam pemberontakan untuk menggulingkan ayahanda mereka dan meninggalkan si Raja yang Muda sebagai raja tunggal England. Henry II menyerang Aquitaine buat dua kali. Richard yang berumur 17 tahun merupakan adik-beradik terakhir yang masih menentang ayahanda mereka; bagaimanapun pada akhirnya, Richard enggan bertemu muka dengan ayahandanya untuk pertempuran, dan kemudian meminta ampun dengan rendah hati. Pada tahun 1174, selepas keakhiran pemberontakan yang gagal itu, Raja Richard mengangkat sumpah baru bahawa baginda akan menurut perintah ayahandanya.

Richard mempunyai banyak alasan utama untuk berasa tidak puas hati dengan ayahandanya. Pertama sekali ialah keengganan Henry untuk membenarkan Richard sebarang kuasa yang benar atau kewangan, walaupun dirayu berkali-kali. Walaupun ditenangkan dengan gelaran-gelaran seperti Count Poitou, Richard hendak lebih lagi dan Henry kelihatan enggan memberi lebih sumber kepada mana-mana satu puteranya yang boleh digunakan untuk menentang diri, dengan alasan yang amat munasabah untuk berbuat demikian. Kedua, Henry telah mencedok Puteri Alys, tunang Richard, sebagai perempuan simpanannya. Alys ialah puteri kepada Raja Louis VII dari Perancis oleh raja permaisuri kedua. Ini menyebabkan perkahwinan antara Raja Richard dan Alys mustahil berdasarkan alasan-alasan teknik – sekurang-kurangnya dari segi gereja, tetapi Henry yang tidak ingin mengakibatkan satu kejadian diplomatik, berdalih dan tidak mengaku kesalahannya. Bagaimanapun, Raja Richard tidak digalakkan menolak Alys kerana Alys merupakan adinda perempuan kepada Raja Philip II dari Perancis, satu sekutu yang rapat.

Selepas kegagalan untuk menggulingkan ayahandanya, Raja Richard menumpukan perhatian kepada penumpasan pemberontakan-pemberontakan dalaman oleh ahli-ahli bangsawan Aquitaine yang tidak puas hati, khususnya di wilayah Gascony. Kekejaman pemerintahannya yang semakin bertambah mengakibatkan pemberontakan yang utama di Gascony pada tahun 1179. Pemberontak-pemberontak mengharapkan penggulingan Richard dan meminta Henry dan Geoffrey, adik-beradik Richard, supaya membantu mereka berjaya.

Titik perubahan dalam pemberontakan terhadap Richard berlaku di Lembah Charente pada musim luruh 1179. Kubu Taillebourg yang terletak di sana amat kukuh sehingga dibiarkan oleh pemerintah-pemerintah Aquitaine yang dahulu kerana dianggap tidak dapat ditawan. Kastil itu dikelilingi oleh cenuram pada tiga tepinya, dan pada tepi keempat terletak sebuah bandar yang mempunyai dinding tiga lapisan. Pada mula-mulanya, Raja Richard memusnahkan dan menjarah ladang-ladang dan tanah-tanah di sekeliling kubu, dan menyebabkan kubu itu tidak mempunyai sebarang tenaga bantuan atau kawasan-kawasan di luar kubu. Penduduk-penduduk di dalam kubu itu amat takut akan Raja Richard pada saat itu sehingga mereka meninggalkan kastil yang selamat untuk menyerang Richard di luar dinding kubu. Richard dapat menewaskan angkatan tentera pertahananan itu dan kemudian mengikut mereka ke dalam kubu. Dengan mudahnya, Raja Richard mengambil alih kastil itu dalam tempoh dua hari. Kemenangan Raja Richard di Taillebourg adalah penting atas dua sebab. Pertama, banyak baron yang ingin memberontak terhadap Raja Richard membatalkan rancangan masing-masing, dan mengisytiharkan taat setia kepadanya. Kedua, Richard mencapai reputasi sebagai seorang komander tentera yang mahir, dengan reputasi itu mengikut seumur hidupnya.

Pada tahun 1181-1182, Raja Richard menghadapi lagi satu pemberontakan, kini mengenai pewarisan kaunti Angouleme. Penentang-penentangnya meminta bantuan daripada Philip II dari Perancis, dan pertempuran itu kemudian merebak ke seluruh Limousin dan Perigord. Raja Richard dituduh melakukan banyak perbuatan kekejaman terhadap orang-orang taklukannya, termasuk rogol: "Baginda melarikan isteri-isteri, serta anak-anak dan saudara-saudara perempuan orang bebasnya, dan menjadikan mereka gundik-gundik sendiri; dan selepas baginda telah melenyapkan rasa berahinya terhadap mereka, baginda menyerahkan mereka itu kepada askar-askarnya untuk pelacuran." [4] Bagaimanapun, dengan sokongan daripada ayahandanya dan si Raja yang Muda, Richard berjaya menewaskan Viscount Aimar V dari Limoges dan Count Elie dari Perigord.

Selepas Raja Richard menewaskan baron-baronnya yang memberontak, baginda sekali lagi mencabar takhta ayahandanya. Dari tahun 1180 hingga 1183, ketegangan antara Henry dan Richard bertambah kerana Raja Henry menitahkan Richard memberikan penghormatan kepada Henry si Raja yang Muda, pewaris raja Inggeris, tetapi Richard enggan berbuat sedemikian. Akhirnya pada tahun 1183, Henry si Raja yang Muda bersama-sama dengan Geoffrey, Duke Brittany, menyerang Aquitaine dalam sebuah percubaan untuk menewaskan Richard. Baron-baron Richard mengambil peluang dalam pergaduhan ini untuk masuk campur dan menentang Duke mereka. Bagaimanapun, Richard dan tenteranya dapat menahan angkatan-angkatan tersebut dan dengan kejam, membunuh setiap tawanan perangnya. Pertempuran itu berhenti sekejap pada bulan Jun 1183 apabila Putera Henry meninggal dunia. Bagaimanapun tidak lama kemudian, Henry II memberikan John Lackland kebenaran untuk menyerang Aquitaine sebagai pengganti untuk mendiang Putera Henry. Dengan kematian Putera Henry, Richard kini merupakan putera tertua dan pewaris raja Inggeris, tetapi pertempuran antara Richard and Henry II masih diteruskan.

Pada tahun 1188, Henry II merancang untuk menyerahkan Aquitaine kepada anak sulungnya, John Lackland yang kemudian menjadi Raja John dari England. Pada tahun yang lalu, Richard telah bersekutu dengan Phillip II untuk mengukuhkan kedudukan sendiri. Philip II merupakan anak bekas suami Eleanor, Louis VII, oleh isteri ketiga, Adele dari Champagne. Roger dari Hoveden menulis mengenai kejadian-kejadian ini:

"Selepas keamanan dicapai, Richard, earl Poitou, tinggal dengan raja Perancis, walaupun bertentangan dengan keinginan ayahandanya. Raja Perancis sangat menghormati Richard sehingga setiap hari, mereka makan daripada meja yang sama dan dengan hidangan berkongsi dan pada malam, tidak tidur di dalam bilik-bilik yang berasingan. Disebabkan hubungan yang amat rapat ini yang kelihatan telah muncul antara mereka, raja England berasa amat hairan dan tertanya-tanya tentang maksudnya. [Raja England] juga mengambil langkah-langkah mencegah untuk masa depan, dan kerap menghantar utusan ke Perancis untuk tujuan memanggil pulang Richard, anaknya; Richard yang berpura-pura berkecenderungan untuk keamanan dan bersedia untuk kembali ke ayahandanya, pergi ke Chinon, dan walaupun terdapat orang yang ditugaskan untuk menjaga [istana Henry II] itu, melarikan sebahagian besar harta karun ayahandanya, dan mengubui kastil-kastilnya di Poitou dengan kekayaannya itu, serta enggan berjumpa dengan ayahandanya." [5]

(Banyak sejarawan telah mentafsirkan keratan ini sebagai membayangkan keintiman homoseksual. Berkongsi katil pada Zaman Pertengahan tidak semestinya mempunyai implikasi hubungan jenis, tetapi keratan ini telah mempengaruhi teori-teori moden bahawa Richard and Philip merupakan pasangan kekasih. Terdapat juga kilasan-kilasan kepada buku Samuel yang menggambarkan Jonathan dan David dalam keratan ini, tetapi politik perhubungan merupakan tumpuan Hoveden yang utama.)

Sebagai pertukaran untuk bantuan Philip terhadap ayahandanya, Richard berjanji untuk menyerahkan haknya untuk kedua-dua Normandy dan Anjou kepada Philip. Richard memberikan penghormatan kepada Philip pada tahun yang sama. Pada tahun 1189, Richard mencuba merampas takhta England untuk diri sendiri melalui penyertaan ekspedisi Philip terhadap ayahandanya. Pada 4 Julai 1189, angkatan-angkatan tentera Richard dan Philip menewaskan angkatan tentera Henry di Ballans. Dengan persetujuan John, Henry bersetuju untuk menamakan Richard sebagai pewarisnya. Henry II mangkat pada 6 Julai 1189 di Chinon, dan Richard I mewarisi ayahandanya sebagai Raja England, Duke Normandy, dan Count Anjou. Baginda di mahkotai secara rasmi sebagai duke pada 20 Julai, dan sebagai raja Westminster pada 3 September 1189.